Keadaan lori dan kereta yang terlibat dalam kemlaangan itu. – Ihsan Bomba
TUARAN: Dua lelaki cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan sebuah kereta yang bertembung di sini petang kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, PKPgB Mohd. Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, kejadian itu berlaku di Jalan Tamparuli Simpang Kouluan pada jam 5.54 petang.
“Panggilan diterima menerusi talian MERS999 dan sepasukan sembilan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Mahmud Jumah dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh tujuh kilometer dari BBP itu, didapati satu kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu lori 3 tan jenis Daihatsu dan kereta jenis Proton Saga FLX.
“Pemandu lori mengalami kecederaan dan telah dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.
Tambahnya, pemandu Proton Saga FLX pula tersepit dalam keretanya dan dikeluarkan oleh pasukan bomba dan diberi rawatan awal oleh anggota EMRS sebelum dihantar ke Hospital Tuaran menggunakan jentera EMRS.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 6.25 petang, katanya.





























