Japlin dan Matbali bergambar kenangan di rumah terbuka beliau.
KOTA KINABALU: Acara rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri boleh merapatkan hubungan pemimpin dengan rakyat, selain memantapkan perpaduan dan muhibah di kalangan penduduk berbilang kaum dan agama.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat (Gagasan Ralyat) DUN Usukan, Datuk Japlin Akim berkata, menerusi majlis seperti ini perpaduan kaum dapat diperkukuhkan melalui budaya kunjung-mengunjung.
Beliau berkata, rakyat berbilang kaum di negeri ini bebas mengamalkan cara hidup tanpa sebarang diskriminasi termasuk menganjurkan sambutan sempena hari perayaan.
Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka beliau di Taman BDC Kolombong hari ini.
Japlin berkata, kestabilan dan kemakmuran dikecapi hasil kerjasama semua kaum membolehkan setiap perayaan utama kaum negara ini dapat disambut bersama.
“Sempena Hari Raya Aidilfitri, gunakanlah kesempatan ini untuk kita sebarkan keharmonian dengan mengeratkan hubungan kekeluargaan dan memperteguhkan ukhuwah di kalangan umat Islam tanpa mengira latar belakang politik kepartian serta mengukuhkan keharmonian hubungan antara kaum,” katanya.
Turut hadir ke rumah terbuka beliau Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda.





























