Keadaan rumah yang terbakar di Kuala Penyu pagi tadi. – Ihsan Bomba
KUALA PENYU: Seorang wanita rentung dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah dua tingkat di Kampung Gerowot, di sini, pagi tadi.
Mangsa yang rentung ditemukan di ruang tamu di tingkat dua rumah tersebut. Seorang lagi individu yang identiti peribadinya tidak diperoleh turut mengalami kecederaan melecur dalam kejadian itu.
Sepasukan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Mohamad Irwan Jaidin dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu dikejarkan ke lokasi kejadian 16 kilometer dari BBP, selepas panggilan kecemasan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 6.57 pagi.

Pasukan bomba di lokasi melaporkan rumah jenis separuh kekal dua tingkat berukuran 30×40 kaki itu terbakar 80 peratus.
Terdapat seorang mangsa rentung dijumpai di ruang tamu tingkat dua dan seorang lagi mangsa dilaporkan mengalami kecederaan melecur di bahagian kaki.
Mangsa rentung telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Turut terbakar ialah sebuah kereta jenis Proton Iswara.































