Shahelmey membuat cerapan menggunakan Total Station Leica TS 09 Plus milik JUPEM Sabah.
PUTATAN: Umat Islam disaran bersederhana dalam membuat persiapan Aidilfitri.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, umat Islam adalah disaran untuk lebih bijak dan berhemah berbelanja ketika membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
“Dengan kelembapan ekonomi semasa dan peningkatan kos sara hidup, mengamalkan kesederhanaan dalam membuat persiapan menyambut syawal adalah amatlah disarankan.
“Berbelanjalah dengan berhemah kerana dalam keceriaan menyambut perayaan ketika ini perlu ada rasa berhemah.
“Bersamalah kita meraikan Aidilfitri pada tahun ini dengan rasa penuh kesyukuran dan dalam masa yang sama juga bersederhana dan elakkanlah pembaziran dalam merayakannya,” ujar beliau.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya turut mengingatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mengutamakan keselamatan sepanjang musim perayaan.
“Sebelum memulakan perjalanan terutama ketika balik ke kampung atau menghadiri rumah terbuka sentiasa pastikan keadaan kenderaan berada dalam keadaan baik.
“Selain daripada itu, pastikan juga keadaan diri masing-masing terutama pemandu kenderaan agar sentiasa berada dalam keadaan sihat dan segar.
“Sekiranya terasa penat berhentilah seketika di tempat yang selamat agar keadaan fizikal kekal segar dan cergas terutama ketika melakukan pemanduan yang jauh dan diharap agar semuanya selamat sampai pergi dan balik ke destinasi yang dituju,” jelasnya.
Beliau ditemui media
pada Majlis Rukyah Hilal Syawal Negeri Sabah 2023 di Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil dekat sini, pada Khamis.
Pada majlis tersebut, sembilan petugas menganggotai Jawatankuasa Rukyah Hilal Negeri Sabah 2023 yang diketuai Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.
Tambah Bungsu, cerapan anak bulan Syawal di Balai Cerap Al-Biruni pada tahun ini bermula jam 6.23 petang hingga 6.32 petang dengan ketinggian hilal (anak bulan) 1° 44 minit 5 saat dengan tempoh masa di atas ufuk selama 9 minit.
“Proses cerapan sama turut dijalankan serentak di 29 lokasi lain seluruh Malaysia dan keputusannya akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,” katanya.
Turut membuat cerapan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif serta Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam.































