Keadaan rumah yang runtuh dan dihanyutkan oleh arus limpahan air sungai. – Ihsan Bomba
RANAU: Rumah seorang penduduk kampung runtuh dan dihanyutkan arus air sungai di sini semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyekamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib berkata, kejadian berlaku di Kampung Paus, pada kira-kira jam 10 malam.
Katanya, panggilan kecemasan diterima menerusi laluan stesen pada 10.10 malam dan sepasukan anggota diketuai oleh beliau sendiri dan sebuah kenderaan bergegas ke tempat kejadian sejauh 64 kilometer dari BBP.
“Setibanya di lokasi, kami mendapati sebuah rumah kediaman tidak kekal dibina berhampiran sungai runtuh dan dihanyutkan arus limpahan sungai. Mujur tiada sesiapa yang cedera.
“Tindakan bomba memantau di sekitar lokasi kejadian memastikan tiada bahaya lain. Tiada kemalangan jiwa dan operasi ditamatkan pada 12.05 tengah malam,” katanya.
Sementara itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir yang juga ADUN Paginatan berkata, anggota keselamatan seperti bomba serta APM telah meninjau lokasi dan beberapa langkah telah dikenal pasti untuk kawasan itu.
“Kawasan di mana kejadian ini berlaku merupakan lokasi di mana terdapat selekoh sungai yang tajam menyebabkan kawasan itu terdedah kepada limpahan aliran sungai terutama pada musim hujan.
“Kita akan mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memasang tembok gabion di sepanjang tebing sungai yang dilihat boleh mengancam keselamatan penduduk di sini.
“Selain itu, kami mengesyorkan agar pihak berkuasa mendalamkan dasar sungai supaya air tidak mudah melimpah ketika hujan lebat,” katanya.
Awal pagi lagi katanya, Pemaju Mukim kawasan itu bersama pegawai JPS juga telah membuat pemeriksaan di kawasan terbabit, namun pada waktu malam, kegagalan benteng itu akhirnya berlaku.
Abidin berkata, beliau akan turun ke padang untuk melawat lokasi bersama Pegawai Daerah Ranau, Jumain Abd Ghani tidak lama lagi untuk mengenal pasti kaedah yang perlu bagi mengelak perkara itu berulang pada masa hadapan.





























