Keadaan mangsa ketika ditemukan. – Ihsan Bomba
TAWAU: Seorang wanita warga emas ditemukan mati di rumahnya yang terkunci dari dalam di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB Jemishin Ujin berkata, kejadian berlaku di Kampung Tanjung Batu Tengah, pada kira-kira jam 8 pagi.
“Panggilan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 8.53 pagi dan sepasukan lapan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II (KUP) Sariah Saim berkejar ke lokasi itu.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak empat kilometer dari BBP itu, didapati seorang mangsa terlibat warga emas perempuan yang kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM.
“Mangsa yang dikenalpasti sebagai Indoktang dan berumur 70-an itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Setelah memastikan tiada kemerbahayaan lain operasi ditamatkan pada jam 10 pagi.































