Keadaan kenderaan yang terbabas sendiri dan melanggar tiang elektrik itu. – Ihsan Bomba
KINABATANGAN: Dua lelaki berdepan detik cemas apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas sendiri dan melanggar tiang elektrik di sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, PPgB N. Azlan Shah Bin Jamaluddin berkata, kejadian berlaku di Seri Impian Kinabatangan pada jam 4 petang.
“Panggilan diterima menerusi talian balai pada jam 4.23 petang dan sepasukan enam anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Abdul Fitri Sangkahan dihantar ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh empat kilometer itu, didapati satu kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Isuzu Dmax single cab membawa muatan ikan terbabas sendiri di bahu jalan dan melanggar tiang elektrik.
“Terdapat dua orang mangsa lelaki pemandu dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan telah keluar sendiri dari kenderaan,” katanya.
Menurutnya, pasukan bomba bertindak membuka kepala bateri dan seterusnya membuat pemeriksaan memastikan tiada kemerbahayaan lain.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.38 petang,” katanya.































