Tarsiah (empat dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penuntut Maahad Tahfiz As Sohabah sambil disaksikan Eliza (tiga dari kanan), Nirmal (dua dari kanan) dan Imelda (kanan).
KOTA KINABALU: Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) menyantuni 50 anak yatim dalam satu Majlis Berbuka Puasa, pada Khamis.
Pengerusi MPWS, Datuk Dr Tarsiah TZ Taman berkata, anak-anak yatim yang terlibat adalah daripada tiga buah institut iaitu Rumah Anak Yatim Amal Kasih Taman Kingfisher Likas, Maahad Tahfiz As Sohabah, Tuaran dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Kota Kinabalu.
“Majlis ini adalah acara tahunan yang diadakan pada bulan Ramadan bagi menyantuni mereka yang kurang bernasib baik.
“MPWS berbesar hati dapat berkongsi kegembiraan bersama anak-anak yatim ini dan berharap majlis sebegini sedikit sebanyak dapat memberikan senyuman kepada mereka di bulan mulia ini.
“Selain itu, MPWS juga mengadakan program ziarah kasih ke rumah-rumah anak yatim di sekitar kawasan Lok Kawi, Sembulan dan Tanjung Aru bagi menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan tahun ini,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan sumbangan dan duit raya kepada anak yatim pada majlis berbuka puasa itu.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan tazkirah ringkas bertajuk ‘Fadilat Bersedekah’ yang disampaikan oleh Pengerusi Maahad Tahfiz As Syafie Tuaran, Anuar Ali.
Hadir sama, Ahli-ahli Jawatankuasa Induk MPWS, Prof. Madya Dr Imelda Albert Gisip, Dr Nirmal Kaur, Kapitan Eliza Goh serta kakitangan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah.





























