Rosmawati semasa menyampaikan duit raya kepada anak tahfiz.
KOTA KINABALU: Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) menyumbangkan duit raya kepada 50 pelajar tahfiz dalam satu Majlis Berbuka Puasa.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Rosmawati Lasuki berkata, pelajar tahfiz yang terlibat adalah daripada Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran As-Syatibiyah, Masjid USIA Bandar Kota Kinabalu dan Ma’had Tahfiz Miftahul Ulum Tanjung Aru.
“Selain sumbangan duit raya, majlis pada malam ini adalah bagi memberikan pengalaman kepada mereka untuk merasai dan menikmati sendiri 700 hidangan yang ditawarkan dalam Bufet Makan Malam Ramadan A Taste of Asia.
“SICC yang juga merupakan anak syarikat Yayasan Sabah amat mementingkan rakyat dan akan sentiasa melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dari masa ke masa.
“Majlis ini juga diadakan sebagai tanda kesyukuran atas kejayaan SICC menerima dua anugerah iaitu The BrandLaureate Sustainable Business dan Brand Inspirational Achievement Awards 2022-2023 bagi kategori Perkhidmatan – Pusat Konvensyen Pelbagai Fungsi,” ujarnya ketika ditemui media selepas majlis berkenaan di sini, pada Khamis.
Selain pelajar tahfiz, SICC turut meraikan warga kerjanya atas komitmen dan sumbangan sepanjang tiga tahun SICC mula beroperasi serta para pelanggan setia, rakan-rakan strategik dan pihak media bagi menghargai kerjasama yang terjalin selama ini.































