Seorang cedera parah manakala dua lagi cedera ringan selepas dua lori bertembung di Sandakan.
SANDAKAN: Seorang parah manakala dua lagi cedera ringan dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan dua buah lori di sini tengah hari tadi.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, kejadian berlaku di Batu 20, Jalan Labuk pada kira-kira jam 12.30 tengah hati.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 12.31 tengah hari dan sepasukan tujuh orang diketuai Komander Operasi, PBKII KUP Saidha Yulius dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak 24 kilometer dari BBP itu, didapati satu kemalangan melibatkan dua buah lori 1 Tan bertembung.
“Terdapat tiga orang mangsa terlibat, di mana seorang mangsa patah kaki dikeluarkan oleh pasukan bomba dan dihantar ke hospital menaiki ambulans, manakala dua orang lagi mangsa hanya mengalami cedera ringan,” katanya.
Selepas melakukan pemeriksaan bagi memastikan tidak ada bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 1.40 petang.





























