Pasukan bomba ketika memadamkan kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Tuaran. – Ihsan Bomba
TUARAN: Sebuah rumah musnah dijilat api di Kampung Berungis, di sini pagi tadi.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 8.30 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, PKPgB Mohd. Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, panggilan kecemasan diterima menerusi talian balai pada jam 8.43 pagi dan sepasukan seramai tujuh anggota diketuai Komander Operasi, PBKII KUP Willafreddie Bangot dikejarkan ke lokasi.
Setiba di tempat kejadian yang terletak 11 kilometer dari BBP itu, mereka mendapati berlaku satu kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 15X20 kaki persegi terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran satu pancutan 100 kaki sumber air dari jentera. Pemeriksaan dijalankan bagi memastikan tidak ada bahaya lain,” katanya.
Menurut Abdul Qawie, tiada mangsa terlibat dilaporkan dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.06 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.44 pagi.





























