Ewon merasmikan Pusat Produk IKS Mart Koperasi Usahaniaga Kota Marudu Berhad, di Medan Marudu, di sini, hari ini.
KOTA MARUDU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menggesa koperasi di seluruh negara khususnya di Sabah supaya menceburi aktiviti perniagaan francais.
Beliau berkata, tahun ini kementeriannya melalui Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk menyediakan pelbagai skim pembiayaan bagi membantu usahawan francais.
“Kita ada banyak produk yang telah didaftarkan sebagai produk francais. Baru-baru ini seramai 62 usahawan menyertai program Business in Transformation (BIT) yang mengusahakan pelbagai produk dan lebih 400 usahawan telah mendaftar di bawah produk mereka.
“Oleh itu, bagi koperasi yang berminat, mereka boleh menghubungi Kementerian atau Pernas untuk mengetahui lebih banyak maklumat mengenai kemudahan pembiayaan ini.
“Program BIT adalah satu program transformasi perniagaan untuk para usahawan kecil menjadi lebih kompetitif dan sistematik dalam menjalankan perniagaan agar dapat menjana lebih keuntungan dan mengembangkan perniagaan dengan lebih efektif,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Produk IKS Mart Koperasi Usahaniaga Kota Marudu Berhad, di Medan Marudu, di sini, hari ini.
Ewon berkata, sehingga Disember 2022 bilangan koperasi yang berdaftar di seluruh negara sebanyak 15,315 koperasi dengan jumlah keanggotaan seramai 7.05 juta orang.
“Dari segi modal syer/yuran keanggotaan, sejumlah RM16.99 bilion telah direkodkan dengan jumlah aset terkumpul sebanyak RM159.90 bilion.
“Bagi Sabah pula, jumlah koperasi berdaftar adalah sebanyak 1,706 buah, dengan kekuatan anggota seramai 343,230 orang.
”Manakala syer dan yuran terkumpul adalah sebanyak RM220 juta, aset terkumpul bernilai RM826.44 juta dan pencapaian jumlah perolehan sebanyak RM437.15 juta,” katanya.
Beliau berharap lebih banyak koperasi baharu diwujudkan di Sabah pada masa akan datang agar aktiviti keusahawanan melalui gerakan koperasi dapat dikembangkan.
Mengenai Majlis Pembangunan Usahawan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil, Ewon berkata, ia telah diperakukan di peringkat kabinet persekutuan.
“Jawatankuasa ini diwujudkan bagi memastikan isu pelaksanaan dan keperluan usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil dapat ditangani secara bersasar dan diselesaikan secara tuntas.
“Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Daerah ini dipengerusikan oleh Pegawai Daerah dan dimulakan secara rintis di Sabah. Manakala di Sarawak pula, ia dilaksanakan melalui Majlis Pembangunan Usahawan Peringkat Bahagian (MPUB) yang dipengerusikan oleh Timbalan Residen.
“Di Semenanjung, memang ada jawatankuasa sedia ada dan kita akan berbincang dengan kerajaan-kerajaan negeri sama ada menggunakan sepenuhnya konsep ini atau mengubah sedikit jawatankuasa penyelerasan sedia ada di negeri masing-masing,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Ewon berkata, Kerajaan Persekutuan dan Negeri akan terus memperkukuhkan kerjasama bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan keusahawanan di seluruh negara.
Katanya, ini selaras dengan agenda utama Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membangunkan Malaysia Madani.
“Program keusahawanan yang dilaksanakan agensi-agensi kerajaan persekutuan di Sabah pada hari ini dengan kerjasama agensi kerajaan negeri membuktikan komitmen besar kerajaan membantu usahawan termasuk di kawasan luar bandar.
“Tahniah kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) satu daripada agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah atas kerjasama cemerlang menjayakan program ini,” katanya.
Ewon turut menyarankan kepada semua koperasi khususnya di Sabah supaya mendapatkan khidmat nasihat dan mengenalpasti peluang dan kemudahan pembiayaan mahupun geran bantuan daripada agensi-agensi di bawah KUSKOP seperti SKM.
“SKM menyediakan pelbagai jenis bantuan termasuk Skim Bantuan Pembangunan atau Pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMPSKM) bagi mempertingkatkan lagi aktiviti perniagaan koperasi.
“Selain itu kementerian lain seperti Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (MIDE) juga menyediakan bantuan kepada usahawan-usahawan untuk memajukan lagi perniagaan mereka.
“Terima kasih kepada MIDE kerana menyalurkan bantuan pembangunan sebanyak RM150,000 kepada Koperasi Usahaniaga Kota Marudu untuk menubuhkan Pusat Produk IKS Mart di Kota Marudu,” katanya.
Ewon berkata, selain bantuan pembangunan keusahawanan, kejayaan sesebuah koperasi juga bergantung kepada komitmen, sokongan dan semangat kental dikalangan semua anggota koperasi berkenaan.
“Saya percaya pembukaan Pusat Produk IKS Mart Koperasi Usahaniaga Kota Marudu Berhad akan membantu lebih ramai usahawan yang bergerak secara kecil-kecilan dan mempunyai produk untuk memasarkan produk mereka di Kedai IKS Mart ini.
“Saya juga berharap agar lebih banyak koperasi IKS Mart dibuka di seluruh Sabah dan memainkan peranan dalam mengorak langkah bersama-sama kementerian untuk memajukan industri keusahawanan khususnya di Sabah,” katanya.
Ewon berkata, KUSKOP melalui SKM dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa), serta ANGKASA akan terus memperkasa dan melaksanakan transformasi sektor koperasi negara seiring dengan agenda transformasi pembangunan ekonomi negara.
“Saya yakin dan percaya gerakan koperasi di seluruh negara akan terus menjadi tonggak penting bagi memakmurkan ekonomi dan memperkukuhkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah yang juga ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah yang juga ADUN Tandek, Hendrus Anding, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) Kuskop, Datuk Haji Zamri Salleh, Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Umar Sarim Saidin, Pengarah SKM Sabah, Matias Kundapin, Pegawai Daerah Kota Marudu, Alexander Yong dan semua ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan.