Pasukan bomba ketika memadamkan kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Kampung Sabok, Kinarut, tengah hari tadi.
PAPAR: Seorang anggota bomba bantuan cedera terkena renjatan elektrik semasa menjalankan operasi memadamkan kebakaran sebuah rumah di Kampung Sabok di Kinarut, dekat sini, tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, PPgB Rozlan Osman berkata, mangsa telah dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS Bomba untuk mendapatkan rawatan.
Menurutnya, kebakaran itu berlaku pada kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
Panggilan diterima menerusi talian balai pada jam 12.08 tengah hari dan sepasukan 13 diketuai oleh beliau sendiri bergegas ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak 20 kilometer dari BBP itu, kita mendapati satu kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal berukuran 50’x40′ terbakar 90 peratus.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dua pancutan sumber air dari jentera,” katanya.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.37 tengah hari dan operasi ditamatkan pada jam 2.20 petang.