Stanley (tengah, duduk) bergambar bersama dengan peserta program itu.
SANDAKAN: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) menganjurkan Bengkel Perlindungan dan Pemeliharaan Pokok Warisan/Natif Siri 1 di Rainforest Discovery Centre (RDC) Sandakan kelmarin.
Bengkel selama dua hari itu diadakan bagi mendedahkan PBT terhadap pengurusan pokok landskap dalam kawasan perkadaran yang berkualiti melalui kaedah pengecaman spesies, masalah dan cara perawatan pokok.
Ini selain penekanan tentang kepentingan keselamatan semasa melakukan kerja-kerja penyelenggaraan pokok di kawasan landskap juga diketengahkan dalam bengkel tersebut.
Penganjuran bengkel ini juga memberi kesedaran kepada PBT tentang penglibatan komuniti dalam membantu PBT menjaga pokok dan memelihara kualiti alam sekitar.
Antara aktiviti yang dilaksanakan semasa bengkel ini adalah sesi perkongsian ilmu oleh Pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Rosmah Murdad dan perwakilan dari Jabatan Perhutanan Sabah, Dr. Joan Pereira, Kuina Kimjus dan George Hubert Petol.
Aktiviti diteruskan dengan sesi kerja lapangan di RDC untuk mengenali beberapa pokok warisan dan pokok lain yang berpotensi untuk dijadikan pokok landskap oleh Dr Joan.
Sesi pengecaman masalah serta cara perawatan pokok oleh Rosmah turut dilaksanakan pada hari kedua bengkel ini.
Program tersebut dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap I, Stanley Chong yang mewakili Setiausaha Tetap KKTP.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan melindungi dan memelihara pokok warisan oleh PBT bagi pemeliharaan dan pemuliharaan biodiversiti serta ekosistem di negeri Sabah.
“PBT perlu memainkan peranan utama dalam dalam menjaga dan melindungi perkara ini di dalam kawasan perkadaran masing-masing untuk mencapai Sustainable Development Goal (SDG) yang telah dirangka,” katanya.
Usaha ini juga selaras dengan inisiatif KKTP ke arah Masyarakat Rendah Karbon iaitu melalui pendekatan Pengekalan Spesies Pokok Unik dan Bercirikan Tempatan serta Dasar Landskap Negeri Sabah yang telah dilancarkan pada November 2022.
“Dasar ini melalui Pelan Tindakan Mengoptimumkan Pemeliharaan dan Pemuliharaan Biodiversiti dan Landskap Semula Jadi untuk Keseimbangan dan Kerharmonian Ekosistem,” katanya.
Tambah beliau lagi, PBT juga perlu menyahut cabaran Kerajaan untuk menetapkan sekurang-kurangnya satu spesies pokok natif sebagai mercu tanda atau pokok rasmi bagi setiap PBT.
“Selain daripada ianya menjadi identiti kepada sesebuah daerah tersebut, ia juga boleh menjadi satu tarikan dan membentuk ekosistem semula jadi,” kata Stanley.
Beliau berharap agar pada masa akan datang satu bengkel seumpama ini akan diadakan bagi membincangkan keperluan dan kekangan di peringkat PBT untuk disuarakan dan diselesaikan di peringkat kementerian.
Anjuran program yang dirancang oleh Sektor Landskap dan Kelestarian KKTP ini melibatkan 40 peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai KKTP serta PBT Zon Timur Laut dan Zon Tenggara.
Tambah Stanley, Kementerian akan sentiasa komited dan bekerjasama dengan PBT dalam menyediakan keperluan bagi menjayakan inisiatif-inisiatif yang telah dirancang.
“Ini bagi memastikan kemampanan pembangunan landskap negeri Sabah serta bagi memastikan pelaksanaan kerja dan pemantapan mutu penyampaian perkhidmatan PBT yang lebih berkesan,” jelas beliau.