Shahelmey Yahya
PUTATAN: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, keputusan UMNO menggantung keahliannya selama enam tahun sememangnya sudah dijangka dan beliau menerimanya dengan berlapang dada.
“Pada petang ini, ramai kenalan bertanyakan saya tentang berita tersebut.
“Berikut adalah jawapan saya. Setakat hari ini, saya belum menerima makluman rasmi dari UMNO. Namun, memang saya menjangkakan dengan keputusan yang sedemikian. Saya menerimanya dengan berlapang dada.
“Dan, saya berharap kenyataan yang diberitakan itu boleh dianggap sebagai keputusan rasmi. Terima kasih,” katanya dalam perkongsian di laman Facebook beliau petang ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebelumnya yang memaklumkan keahlian Shahelmey dalam UMNO digantung selama enam tahun.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memaklumkan keahlian Shahelmey dalam UMNO digantung selama enam tahun.
“Shahelmey kena suspend (gantung) enam tahun,” katanya semasa Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kinabatangan di Dewan Masyarakat Sandakan hari ini, seperti dilapor Utusan Malaysia.
Walau bagaimanapun, Bung Moktar tidak memberi maklumat terperinci mengenai penggantungan keahlian Shahelmey tersebut.
Keputusan itu bermakna Shahelmey tidak boleh bertanding di bawah payung UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang bagi mempertahan kerusi Parlimen Putatan.
Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah telah menghadiri mesyuarat Lembaga Disiplin UMNO pada 24 Februari lalu namun, sehingga kini belum dimaklumkan tentang keputusan mesyuarat tersebut.
Pada 6 Januari lalu, Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat bersama tiga lagi ADUN UMNO telah menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
Tindakan empat ADUN UMNO itu bertentangan dengan keputusan Bung Moktar dan sebahagian pemimpin UMNO Sabah yang mengumumkan menarik sokongan daripada Ketua Menteri dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Tiga ADUN itu ialah Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit) dan Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk).
Namun pada 21 Februari lalu, ketiga-tiga ADUN tersebut mengumumkan keluar UMNO bagi menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Setakat ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO belum mengumumkan secara rasmi mengenai status mahupun kedudukan Shahelmey dalam UMNO.