Hajiji melakukan gimik pelancaran Program Oksigen (02) Untuk Rakyat #SharingIsCaring di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperkenalkan Program Oksigen (O2) Untuk Rakyat #SharingIsCaring bagi memenuhi keperluan rawatan perubatan rakyat yang kurang berkemampuan di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Program oleh Kerajaan Negeri itu akan dilaksanakan melalui Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) dan Sabah Energy Corporation (SEC).
Hajiji berkata, program itu dilaksanakan kerana kerajaan sedar bahawa peralatan mesin oksigen dan tangki oksigen tidak mampu dimiliki oleh semua pesakit kerana harganya yang mahal.
“Bekalan peralatan sedia ada di hospital juga tidak mencukupi dan pesakit juga terpaksa berulang alik ke hospital bagi mendapat rawatan. Selain itu, masih ramai lagi individu di luar sana yang tidak berkemampuan dan amat memerlukan perkhidmatan itu, yang mana mereka tidak berdaftar dengan Jabatan Kesihatan.
“Berdasarkan keperluan itu, Program Oksigen Untuk Rakyat #SharingIsCaring ini diperkenalkan. Usaha murni ini tercetus atas keprihatinan kerajaan negeri melalui YKS dan SEC bertujuan membantu rakyat negeri ini yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan peralatan oksigen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Oksigen (02) Untuk Rakyat #SharingIsCaring di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, beliau dimaklumkan sepanjang tahun 2022 hingga Januari 2023, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mencatatkan sebanyak 74 kes pesakit di Sabah yang memerlukan bantuan mesin oksigen manakala 11 pesakit lagi memerlukan, bantuan tangki oksigen.
Menurutnya, daripada 74 kes pesakit yang memerlukan bantuan mesin oksigen tersebut, seramai 36 orang pesakit direkodkan di Zon Kota Kinabalu, 15 orang di Zon Sandakan, 14 orang di Zon Tawau, 7 di Zon Keningau dan 2 di Zon Beaufort. Manakala bagi 11 keperluan tangki oksigen pula, seramai 6 orang pesakit direkodkan di Zon Kota Kinabalu dan 5 orang di Zon Sandakan,” katanya.
Selain bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan, beliau mahu pemimpin masyarakat seperti Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di seluruh negeri ini membantu menguar-uarkan perkhidmatan itu kepada mereka yang memerlukannya.
Hajiji berkata, menerusi program ini, peralatan mesin oksigen dan tangki oksigen di tempatkan di hospital kerajaan dan diberikan secara pinjaman dengan dikawal selia oleh Jabatan Kesihatan.
Bantuan ini diberikan kepada semua rakyat yang memerlukannya tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.
Beliau berkata, pelaksanaan program itu adalah bertepatan dengan konsep dan pendekatan “Malaysia MADANI” yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri melalui penerapan 6 rukun teras iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.
“Dalam konteks ini, aspek ‘kesejahteraan’ dan ‘kesihatan’ rakyat telah dijadikan dimensi pengukur kadar kemiskinan bagi melihat tahap pencapaian negara ke arah mewujudkan sebuah negara Madani yang menjadi impian kita semua, insha-Allah.
“Di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya, aspek kesejahteraan rakyat juga telah diberikan penekanan utama. Penubuhan YKS juga adalah satu platform Kerajaan Negeri untuk membantu dan mendekati golongan rakyat negeri ini yang memerlukan bantuan dan perhatian secara khusus,” tegasnya.
Hajiji yang juga Pengerusi YKS turut menggesa semua pihak sama ada jabatan atau agensi kerajaan, Badan-badan Berkanun, Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGOs) dan Badan-badan Korporat untuk terus memberi sokongan kepada YKS dalam membantu golongan kurang berkemampuan dan berkeperluan khas di negeri ini.
Katanya, cabaran utama yang dihadapi dalam usaha negara menggapai kesejahteraan rakyat secara maksima ialah kurangnya fasiliti dan kekangan peruntukan bagi menampung keperluan rakyat di negeri ini.
Beliau berkata, penglibatan dan sokongan padu daripada semua pihak amatlah diharapkan untuk membantu kerajaan negeri mencapai sasaran bagi mewujudkan sebuah negara Madani dan Sabah Maju Jaya.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Mohd. Sofian Alfian Nair, Pengerusi SEC, Datuk Annuar Ayub, Pengarah JKNS, Datuk Rose Nani Mudin, Ketua Pegawai Eksekutif SEC, Adzmir Abdul Rahman, dan Pengarah YKS, Hajah Rugayah Ag. Besar.
Sementara itu, Annuar dalam ucapannya berkata, SEC sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap nasib yang dialami oleh golongan yang tidak berkemampuan dan berkeperluan di Negeri ini termasuklah golongan miskin, anak-anak yatim, golongan Orang Kurang Upaya, ibu-ibu tunggal dan sebagainya.
Katanya, pelbagai program CSR telah dilaksanakan oleh SEC termasuklah penganjuran program pengagihan bakul makanan, Program Back-to-School, bantuan kewangan dan banyak lagi program yang ditujukan kepada golongan berkenaan.
“Melalui program CSR sedemikian, SEC berharap ianya sedikit sebanyak membantu Kerajaan Negeri dalam usaha untuk menangani isu kemiskinan dan kedaifan di kalangan masyarakat setempat.
“Program Oksigen Untuk Rakyat ini adalah bertujuan untuk membantu para pesakit di Negeri ini yang memerlukan bantuan bekalan oksigen.
“Inilah masanya kita cuba mendekati golongan pesakit ini dan berusaha meringankan beban mereka dengan menyediakan perkhidmatan peralatan oksigen ini. Kita menyedari bahawa golongan kurang berkemampuan, sudah tentunya tidak dapat membeli sendiri peralatan bantuan oksigen ini kerana harga bagi setiap mesin oksigen serta tong oksigen ini ternyata agak mahal dan sukar untuk dimiliki.
“Disebabkan itu, pesakit tiada pilihan selain terpaksa berulang alik ke hospital atau klinik berdekatan bagi mendapatkan rawatan sahaja. Justeru, atas keprihatinan terhadap kebajikan golongan pesakit ini, sekali lagi SEC mengorak langkah untuk mendekati golongan ini menerusi Program Oksigen Untuk Rakyat ini,” katanya.
Menurut beliau, melalui program ini, para pesakit akan dibekalkan dengan peralatan bantuan oksigen secara pinjaman bagi tempoh masa tertentu atas nasihat pakar perubatan.
“Bagi tujuan pelaksanaan program ini, SEC dan YKS akan bekerjasama daripada Pegawai Kebajikan Hospital Kerajaan/Swasta dan Ketua-ketua Pemimpin yang terlibat untuk menjaga kebajikan rakyat di kawasan tertentu.
“Program ini akan dilaksanakan secara berfasa di mana alat bantuan oksigen ini akan diagihkan kepada hospital-hospital meliputi seluruh daerah di Sabah mengikut keperluan kes. Pengagihan ini akan diselaraskan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dari semasa ke semasa.
“Bagi memastikan proses peminjaman peralatan bantuan oksigen ini berjalan lancar, YKS dan SEC akan berganding bahu dengan pihak JKNS. Semoga dengan kerjasama baik ini, program ini akan berjaya.InshaAllah.
“Saya berharap dan percaya dengan terlaksananya program ini, ianya akan dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya, untuk kita membantu meringankan beban rakyat Sabah yang miskin dan tinggal jauh dari kelengkapan hospital.“Dengan adanya perkhidmatan sebegini, mereka boleh membuat rawatan sendiri di rumah tanpa bersusah payah ke hospital lagi,” ujarnya.