Jainisah (dua dari kiri) ketika bergambar kenangan bersama Muh Ariff (tiga dari kiri).
KOTA KINABALU: Pengamal media yang memegang Kad Perakuan Media (KPM) dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan kad berkenaan.
Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata pihaknya memandang serius sebarang aduan yang dikaitkan dengan penyalahgunaan kad akreditasi media yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).
“KPM adalah dokumen pengenalan diri bagi sesuatu tempoh yang ditentukan untuk wakil-wakil media daripada agensi atau syarikat media yang telah didaftarkan secara rasmi dengan JaPen.
“Walau bagaimanapun, kad ini hanya dikeluarkan kepada para pengamal media yang membuat liputan bagi acara-acara rasmi kerajaan sahaja dan kebenaran memasuki premis dan membuat liputan masih tertakhluk kepada keputusan penganjur.

Suasana ketika kunjungan berlangsung.
“Sebagaimana kad akreditasi lain, pihak JaPen juga mempunyai kuasa untuk menarik semula atau membatalkan kad ini jika didapati berlaku penyalahgunaan,” tegasnya.Jainisah berkata demikian ketika mengulas beberapa kes lalu yang dikaitkan dengan pemegang KPM termasuk kes melanggar peraturan jalan raya, memalsukan KPM dan menyamar sebagai wartawan.
Beliau ditemui media selepas menerima kunjungan hormat Team Sabah Info yang diketuai Ketua Pengarah Operasinya, Muh Ariff di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Jalan Kepayan, dekat sini.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah (KPP), Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Peter Tong Ah Pin dan KPP Bahagian Media Siber, Geraldine Voo Yee Wen.
Jelas Muh Ariff, kunjungan itu bertujuan untuk mendapatkan khidmat nasihat mengenai pendaftaran agensinya yang beroperasi sejak lapan tahun lalu secara dalam talian dan berhasrat membantu JaPen menyebarkan maklumat kerajaan kepada masyarakat.































