Kanak-kanak sekolah rendah mengikuti Kursus Komputer Percuma selama enam hari di Ranau.
RANAU: Program pengisian musim cuti para pelajar di kawasan ini dilaksanakan secara optimum dengan penganjuran Kursus Komputer Percuma Siri 4/2023 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Kursus yang berjalan selama seminggu bertempat di Pusat Komuniti Desa Tagudon Baru di sini itu disertai oleh lebih kurang 10 orang pelajar sekolah rendah dari beberapa buah sekolah di sini.
Kursus asas komputer dari 6 hingga 11 Mac itu dijayakan oleh Pusat Komuniti Desa Tagudon Baru Ranau dan AMC College.
Pengendali kursus, Asminah Zakin yang ditemui selepas kursus tersebut berkata, program tersebut antara lainnya bertujuan untuk menjadikan kanak-kanak peka penguasaan ICT.
Di samping itu, katanya, ia adalah bagi memberikan pendedahan kepada mereka terhadap asas tentang penggunaan komputer dan supaya mereka mengetahui kaedah penggunaan computer dengan betul.
“Terdapat tiga objektif kursus ini, iaitu memperkenalkan tentang ICT kepada kanak-kanak serta meningkatkan pengetahuan dan kemahiran penggunaan ICT kepada kanak-kanak.
“Melalui kursus ini juga kita berharap akan mampu memperkenalkan aplikasi mudah untuk kanak-kanak membuat kerja sekolah selepas ini,” katanya.
Menurut Asminah, antara pengisian kursus berkenaan ialah enam subjek asas yang dipelajari sepanjang enam hari kursus tersebut berjalan.
“Dalam kursus ini, kita memuatkan topik khas setiap hari. Hari pertama, kanak-kanak diberikan pengajaran tentang ‘Pengenalan kepada komputer dan penggunaan internet.
“Pada hari kedua dan seterusnya, kita memberikan pengajaran tentang teknik menaip dan mengendali keyboard dengan betul, Asas Microsoft Word, Asas Microsoft Excel, Asas Microsoft Powerpoint dan Asas Microsoft Publisher,” jelas beliau.





























