Jainisah (depan, tengah) ketika bergambar kenangan bersama kader PRO.
KOTA KINABALU: Ke arah memantapkan peranan perhubungan awam, Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah menghimpunkan seluruh Pegawai Perhubungan Awam (PRO) secara fizikal dan dalam talian.
Dengan mekanisme tersebut, JaPen dapat memantau perkembangan semasa serta tugasan para PRO di Sabah, di samping menyuarakan pandangan, berkongsi maklumat, mengenal pasti isu dan potensi kolaborasi yang boleh diwujudkan antara JaPen Sabah dan jabatan tempat PRO bertugas.
Mesyuarat PRO Bil.1/2023 itu dipengerusikan oleh Pengarah JaPen Sabah, Jainisah Mohd Noor di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Digital, kelmarin.
Untuk rekod, seramai 33 orang PRO dari JaPen kini bertugas di beberapa jabatan serta agensi antaranya, Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah (LPKP), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Hospital Beaufort, Hospital Queen Elizabeth, Hospital Queen Elizabeth II, Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas, Hospital Keningau dan Hospital Tawau.
Hadir sama, Ketua-ketua Penolong Pengarah JaPen Sabah dan Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat JaPen Malaysia, Datuk Sivabalan A/L Ethirmanasingham dan Penolong Pengarah Pengurusan Sumber Manusia (Operasi) JaPen Malaysia, Anuwar Kamarudin yang hadir secara atas talian.





























