Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera ditimpa dahan pokok ketika menunggang motosikal di Jalan Presint 7D, Putrajaya.
PUTRAJAYA: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera ditimpa dahan pokok ketika menunggang motosikal menuju ke tempat kerjanya, pagi kelmarin.
Dalam kejadian pukul 8.10 pagi di Jalan Presint 7D itu, mangsa dikenali sebagai Mazlan Mohd Emran, 27, mengalami cedera ringan di tangan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa kini sedang dirawat di Hospital Putrajaya.
Beliau berkata, siasatan mendapati, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya sebelum terbabit kemalangan itu.
“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal di lorong paling kiri sebelum dihempap sebatang pokok reput yang dipercayai berada di lorong kiri jalan.
“Ketika kejadian, permukaan jalan rata dan kering serta mempunyai empat lorong jalan sehala,” katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.





























