Azalina Othman Said
KOTA KINABALU: Kerajaan Perpaduan komited terhadap hal ehwal warga Sabah dan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan keamanan, kemakmuran, dan keselamatan Sabah sentiasa dijamin, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Kerajaan Persekutuan dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Barisan Jemaah Menteri tidak akan berkompromi terhadap aspek kedaulatan dan keselamatan serta tidak akan berhenti berusaha untuk melindungi dan memelihara kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia pada setiap masa dan akan terus mengambil segala tindakan yang perlu bagi menghentikan tuntutan Sultan Sulu dengan menggunakan segala kuasa, hak dan sumber yang ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hari ini, Azalina bersama pegawai-pegawai Kerajaan Persekutuan dari Bahagian Hal-Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan wakil Sekretariat Khas iaitu Prof. Datuk Dr. Sundra Rajoo dan Datuk Feroz Hussein Ahmad Jamaluddin, telah mengadakan Sesi Taklimat Mengenai Isu Tuntutan Pihak Mendakwa Waris Kesultanan Sulu bersama Kerajaan Negeri Sabah dan ahli komuniti Sabah di Magellan Sutera Resort.
Menurut Azalina, taklimat ini sama sebagaimana yang telah diadakan semalam bersama-sama dengan Ahli-ahli Parlimen dari Blok Kerajaan dan Blok Pembangkang untuk menerangkan mengenai latar belakang melibatkan isu tuntutan ini dan perkembangan berkaitan tindakan undang-undang di empat bidang kuasa iaitu Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda.
“Selain itu, taklimat ini juga bertujuan mendapatkan pandangan daripada warga Sabah yang terkesan secara langsung,” katanya.



























