Dr. Jeffrey semasa berbahas di Parlimen, Kuala Lumpur.
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan diminta melaksanakan semakan kewangan rasmi untuk mengembalikan 40 peratus hak hasil bersih Sabah mengikut perlembagaan 112C, 112D dan item 2(1) Bahagian IV Jadual Ke-10.
Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, semakan kewangan itu sepatutnya mandatory diadakan setiap lima tahun tetapi tidak dibuat sejak 1974.
“Di manakah 40 peratus (hak kewangan Sabah) selama 48 tahun ini,” kata Dr. Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah semasa perbahasan di Parlimen, Kuala Lumpur.
Beliau meminta agar hak kewangan 40 petatus ditunai segera dan bukan hanya peruntukan tahunan RM260 juta untuk Sabah dan RM300 juta untuk Sarawak.
Menurut Dr. Jeffrey, Sabah kehilangan kuasa kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia apabila Persekutuan mengabaikan semakan tersebut sehingga menjadikan rakyat Sabah bertambah miskin.
Ahli Parlimen Keningau itu menjelaskan sosioekonomi Sabah bertambah buruk apabila para pemimpin pusat membawa parti-parti politik mereka ke Sabah dan merekrut serta mengimport orang-orang asing Filipina serta Indonesia sebagai pengundi.
“Dengan slogan ‘Demi Bangsa dan Agama’, pemimpin pusat cuba melaksanakan ‘Social-Engineering’ di Sabah dengan memberi dokumen kewarganegaraan ikut pintu belakang seperti dalam laporan Royal Commission of Inquiry (RCI) 2014,” katanya.
Dr. Jeffrey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan seterusnya mendakwa Perdana Menteri ketika itu sanggup membelakangi Perlembagaan Sabah dengan menggilir Ketua Menteri setiap dua tahun demi kuasa politik tetapi bila sampai giliran parti mereka, tiada pula penggiliran.
Tegasnya, “Ini merupakan sejarah politik paling gelap bagi Sabah. Saya harap sejarah begini tidak akan berulang lagi.”
Menurut beliau, untuk Sabah dan Sarawak mengejar pembangunan di Malaya, dana yang mencukupi diperlukan, keadilan serta hormat perkongsian bersama sebagai rakan kongsi membentuk Malaysia.
Justeru Dr. Jeffrey mencadangkan dana pembangunan setiap tahun mengikut nisbah yang lebih adil 50:25:25 iaitu 50 peratus untuk Semenanjung, 25 peratus (Sarawak) dan 25 peratus (Sabah).
Di samping hak kewangan tersebut, beliau seterusnya meminta agar peruntukan Pan Borneo Highway dipercepatkan kerana Tuanku Yang di-Pertuan Agong telah melafazkan hasrat untuk menjelajah melalui lebuh raya rentas Sarawak-Sabah itu.
Dr. Jeffrey berharap mendapat sokongan Kerajaan Pusat untuk membangunkan ekonomi Sabah dan Sarawak seiringan pemindahan pusat ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan Timur.



























