Pemain Arsenal meraikan kemenangan mereka ke atas Aston Villa dalam saingan Liga Perdana Inggeris malam tadi.
BIRMINGHAM: Arsenal bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Aston Villa 4-2 dalam aksi yang cukup dramatik terutamanya dalam masa kecederaan pada saat-saat akhir perlawanan malam tadi.
Segalanya berpunca daripada gol sendiri yang dihasilkan penjaga gol Aston Villa, Emiliano Martinez yang tertanduk bola ke gawang sendiri selepas rembatan Jorginho terkena palang.
Menurut Utusan Malaysia, sebelum itu, The Gunners bangkit daripada ketinggalan sebanyak dua kali selepas Ollie Watkins dan Philippe Coutinho meletakkan Aston Villa mendahului 2-1 sehingga tamat babak pertama dengan gol pertama Assenal dijaringkan Bukayo Saka.
Bersambung babak kedua, Arsenal terus menekan untuk memburu gol kemenangan selepas Oleksandr Zinchenko berjaya meledak gol pertamanya buat Arsenal sekali gus menjadikan kedudukan 2-2.
Eddie Nketiah dan Martin Odegaard masing-masing terlepas peluang untuk meledak gol kemenangan sebelum percubaan Jorginho menjadikan kedudukan 3-2 buat pasukan pelawat.
Tidak lama selepas itu, Gabriel Martinelli kemudiannya menyumbat masuk gol keempat ke arah gawang gol kosong untuk memberikan tiga mata penting buat Arsenal kembali mendahului carta liga.





























