Lokasi di mana dua kanak-kanak itu memancing dan mandi-manda ketika kejadian itu. – Ihsan Bomba
KOTA MARUDU: Dua kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun nyaris maut ketika membuat aktiviti memancing dan mandi-manda di dalam sebuah parit di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, PPgB Hasbi Hajat berkata, kejadian itu berlaku di Jalan Radu, di sini, kira-kira jam 4.30 petang tadi.
“Kita menerima panggilan melalui talian balai pada jam 4.49 petang tentang insiden itu dan sepasukan seramai enam anggota diketuai Komander Operasi, PBKII KUP Dyiron Deris dikejarkan ke lokasi,” katanya.
Setibanya di tempat kejadian yang terletak empat kilometer dari balai itu, didapati dua orang budak dilaporkan lemas semasa menjalankan aktiviti memancing dan mandi-manda di kawasan parit tersebut.
“Mangsa pertama berjaya diselamatkan oleh orang awam dan dilaporkan tidak sedarkan diri, seterusnya dibawa ke hospital oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Mangsa kedua juga berjaya diselamatkan oleh orang awam dan dilaporkan tidak sedarkan diri. Mangsa kedua sempat diberi bantuan pernafasan CPR oleh seorang pegawai bomba PBKII KUP Lainor Unsigang yang berada di luar waktu penugasan di lokasi kejadian sementara menunggu ketibaan pasukan bomba dan ambulans.
“Mangsa kemudiannya dikejarkan ke hospital menaiki ambulans untuk mendapat rawatan selanjutnya. Operasi ditamatkan pada jam 5.45 petang,” katanya.





























