Keadaan pacuan empat roda yang terbabas sendiri itu. – Ihsan Bomba
TUARAN: Tiga orang lelaki, termasuk seorang remaja, mengalami kecederaan selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, PKPgB Mohd. Abd Qawie Abdul Gapar berkata, kemalangan jalan raya itu berlaku di Jalan Lapasan Kampung Nauga pada kira-kira jam 1.40 petang.
“Satu penggilan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 1.46 petang dan sepasukan seramai tujuh anggota diketuai Pegawai Operasi, PBK II (KUP) Ardianus Paulos @ Mohd Farhad Abdulah dihantar ke lokasi.
“Setiba di lokasi sejauh 18 kilometer itu, didapati satu kemalangan melibatkan sebuah kenderaan Toyota Land Cruiser terbabas sendiri di bahu jalan.
“Terdapat tiga orang mangsa tercedera di mana seorang daripada mereka mengalami kecederaan patah tangan, manakala dua lagi mengalami cedera ringan,” katanya.
Menurut Mohd. Abd. Qawie, kesemua mangsa telah diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS dan dihantar ke Hospital Tuaran menggunakan jentera EMRS.
Operasi ditamatkan pada jam 2.25 petang.





























