Masiung (dua kiri) bersama Musli (kanan) ketika ditemui pada Program Santai Menu Rahmah di Restoran Pak Mus, Plaza Tanjung Aru, di sini, semalam.
KOTA KINABALU : Kerajaan Persekutuan diharap dapat memberi perhatian terhadap usaha menyediakan lebih banyak rumah kos rendah di Sabah menerusi pembentangan semula Belanjawan 2023 yang dijadualkan pada 24 Februari ini.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah berkata, di Sabah saja pihaknya menerima lebih 50,000 permohonan bagi mendapatkan rumah kos rendah.
“Sebagai Pengerusi LPPB Sabah, sudah tentu menjadi satu impian yang besar bagi saya untuk menyediakan rumah kos rendah di seluruh negeri ini.
“Sekarang terdapat lebih kurang 50,000 lebih pemohon rumah kos rendah yang sedang menunggu giliran dalam sistem.
“Oleh itu, saya telah mengemukakan perkara ini kepada kepimpinan Kerajaan Negeri agar perkara ini diambil perhatian.
“Kita berazam untuk membina sekurang-kurangnya 10,000 buah rumah bagi mengurangkan angka tersebut,” katanya
Beliau ditemui media selepas menyempurnakan Program Santai Menu Rahmah di Restoran Pak Mus, Plaza Tanjung Aru, di sini, semalam.
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, selain kemudahan asas, rumah juga adalah perkara penting yang perlu diberikan keutamaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri memberikan penekanan terhadap perkara itu.
“Oleh itu, perkara ini perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan dan juga pihak Kerajaan Negeri,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual akan membentangkan Belanjawan 2023 pada persidangan Dewan Rakyat 24 Februari ini.
Dalam perkembangan lain, Masiung berharap program Menu Rahmah dapat diperluaskan termasuk di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.
“Menyarankan supaya Menu Rahmah ini bukan sahaja dikembangkan di restoran-restoran, malahan mungkin boleh dikembangkan di kantin kantin universiti universiti swasta ataupun
universiti universiti awam kerana seperti kita sedia maklum, pelajar IPT dari bandar dan juga luar bandar memerlukan inisiatif seumpama ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menurunkan harga barangan mentah bagi memastikan program Menu Rahmah dapat diperluaskan dan dimanfaatkan oleh lebih ramai golongan masyarakat.
“Walaupun pihak restoran membantu untuk melaksanakan Menu Rahmah untuk membantu mengurangkan kos sara hidup, tetapi kalau pihak kerajaan tidak membantu mengurangkan harga bahan mentah, sebagai contoh harga ayam, harga telur, harga sayur, saya rasa hasrat dan objektif kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, tidak dapat dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, pemilik Restoran Pak Mus di Plaza Tanjung Aru, Musli Oli memperkenalkan Menu Rahmah pada harga RM5 kepada pelanggannya, bermula 3 Februari lalu di restoran beliau.
Musli berkata, menu berkenaan ditawarkan bermula pukul 10.30 pagi hingga 2.30 petang, setiap hari.
Katanya, menu berkhasiat dan seimbang yang ditawarkan kepada pelanggan pada harga RM5 ialah nasi, ayam atau ikan, sayur dan air sirap.
Musli berkata, inisiatif itu adalah bagi menyahut seruan Kerajaan dalam membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat khususnya di Sabah.
“Kita cuba membantu Kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup dan saya percaya kalau indeks harga di restoran restoran turun, secara automatik dia akan menurunkan kadar inflasi di negara ini,” katanya.































