Jainisah (tiga dari kiri) menyampaikan cenderakenangan kepada Razli.
KOTA KINABALU: Semua individu yang layak dikenakan cukai pendapatan digalak memanfaatkan gerbang dalam talian MyTax.
Pengarah Operasi Negeri Sabah, Seksyen Khidmat Pelanggan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia, Mohamad Razli Mohamad Ali berkata pengisytiharan pendapatan melalui gerbang dalam talian MyTax memudahkan urusan seperti melihat tunggakan, lebihan, potongan menerusi e-lejar dan e-kemaskini.
“Semua pembayar cukai yang layak dikenakan cukai perlu menghantar borang penyata cukai pendapatan mulai 1 Mac ini dan boleh mengakses sistem e-Filing melalui portal LHDN, MyTax ataupun platform ezHASiL,” katanya semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Digital.
Di samping itu, para pembayar cukai juga diingatkan agar menyimpan setiap dokumen percukaian sekurang-kurangnya untuk tempoh tujuh tahun bukan sahaja bagi membantu urusan LHDN, sebaliknya juga memberikan peluang kepada para pembayar cukai meneliti dengan merujuk semula laporan cukai masing-masing.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Supian Musa; Ketua Penolong Pengarah (KPP) Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Azman Sipan; KPP Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Sulia Banying Anak Gihang dan KPP Bahagian Perhubungan Awam, Zamri Abd Ghani.





























