Nashraf (kanan) menerima hadiah wang tunai, sijil dan hadiah iringan daripada Shahelmey selepas di nobatkan sebagai Johan Qari MTQ Daerah Putatan 2023.
PUTATAN: Umat Islam diseru mengamalkan ajaran yang terkandung dalam Al-Quran. Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, Al-Quran mengandungi banyak hikmah yang boleh mendorong kepada kejayaan sekiranya dibaca dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Kitab suci ini mesti kita fahami kandungannya kerana mempunyai banyak pengajaran dan hikmah yang mampu membawa kejayaan kepada yang mengamalkannya.
“Begitulah sucinya kitab Al-Quran, jadi janganlah membiarkan kitab ini di dalam almari atau rak-rak buku hanya untuk dijadikan sebagai perhiasan,” jelasnya ketika berucap pada Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) Peringkat Daerah, pada Selasa.

Dayang Saliah membaca surah Al-Baqarah ayat 126 dengan tarannum Soba dan Nahawand.
Menurut Shahelmey objektif penganjuran MTQ yang diadakan saban tahun adalah untuk menggalakkan budaya pembacaan Al-Quran dalam komuniti, keluarga dan masyarakat Islam.
“Membaca Al-Quran tidak sukar ketika ini, hanya perlu bermula dengan sekurang-kurangnya sepotong surah yang pendek menggunakan telefon pintar masing-masing,” ujarnya.
Pada majlis tersebut Shahelmey turut menyampaikan hadiah kepada 12 orang peserta dengan johan qari dinobatkan kepada Nashraf Ideen Nahar manakala johan qariah, Dayang Saliah Pengiran Awang Salleh yang akan mewakili daerah Putatan ke pertandingan MTQ Peringkat Pantai Barat Selatan yang akan diadakan pada 16 Februari ini di tempat yang sama.
Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah Putatan, Hasnita Noorzain; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Putatan, Ahmad Helmi Mohd Taib; Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah Daerah Putatan, Aisah Ohdin serta Ketua Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard, Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang, ASP Ali Husin Sahina.





























