Ismail Sabri Yaakob
ETALING JAYA: Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi komitmen untuk membangkitkan isu berhubung pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar di Dewan Rakyat, bulan ini.
Menurut Utusan Malaysia, bekas Perdana Menteri itu berkata, ia selepas beliau menerima memorandum tuntutan itu dari Pertubuhan Warisan Rakyat Prihatin di pejabatnya, petang Jumaat.
Jelasnya, memorandum itu menuntut pengeluaran secara bersasar bagi menangani kos sara hidup yang semakin meninggi.
“Terima kasih Pertubuhan Warisan Rakyat Prihatin atas pertemuan ini dan diharapkan terus menjadi mata dan telinga rakyat dan sentiasa peka dengan keperluan rakyat di negara ini.
“Insya-Allah saya akan bangkitkan isu ini sewaktu perbahasan di Parlimen yang akan berlangsung mulai pertengahan bulan Februari ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, kelmarin.
Selain Pertubuhan Warisan Rakyat Prihatin, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini menuntut kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim membenarkan pengeluaran KWSP sama ada secara bersasar atau one off.
Bagaimanapun, Perdana Menteri dalam satu majlis di Kangar, Perlis sebelum ini, dilaporkan berkata, kerajaan perlu mempertimbang nasib dan masa depan pencarum KWSP sebelum membenarkan lagi pengeluaran tersebut.