Viola Vicentia atau lebih dikenali sebagai Lula menyanyikan lagu “London Bridge Is Falling Down” diiringi musik gitar dimainkan bapanya. Ateng.
KOTA KINABALU: Komposer lagu, Ateng, terkejut video menyanyi bersama anaknya, Lula, menerima lebih 1 juta tontonan di TikTok hanya dalam masa sehari.
Menurut Ateng, beliau tidak pernah menyangka video menyanyi lagu “London Bridge Is Falling Down” bersama anaknya Viola Vicentia atau lebih dikenali sebagai Lula kini menerima lebih 2 juta tontonan setakat ini.
“Seperti biasa setiap hari saya akan melihat notifikasi/pemberitahuan di dalam mana-mana laman sosial saya, termasuklah Tiktok, pelik juga tiba-tiba video tersebut ada banyak tontonan, mulanya saya anggap normal,” katanya.
Menurutnya, pada awal pagi besoknya pula, jumlah tontonan sudah melebihi 1 juta, dan jumlah pengikut juga melebihi 14 ribu dalam masa sehari.
Malah, lebih mengejutkan, hari ini jumlah tontonan video berkenaan telah mencecah 2.2 juta.
Katanya, lebih pelik, komen-komen yang diberi oleh pengunjung dari pelbagai negara, yang mengaitkan lagu tersebut dengan sebuah filem Anime, sedangkan lagu itu merupakan lagu kanak-kanak sejak dahulu lagi.
“Geram juga, lagu saya yang terbaharu di Youtube pula tidak mendapat sambutan sebegini,” katanya berseloroh.
Apa pun, Ateng berterima kasih kepada semua yang telah menonton video tersebut dan sokongan yang telah diberi.
Pautan Video Tiktok: https://vt.tiktok.com/ZS8yvkwcs/