Pasukan bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat di sekitar kawasan dua orang lelaki dipercayai hilang. – Ihsan Bomba
TONGOD: Anggota penyelamat kini dalam usaha untuk mencari dan menyelamat dua orang lelaki yang dipercayai hilang selepas bot yang mereka naiki karam di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, PPgB Edoen Macheal berkata, insiden tersebut berlaku di sebuah ladang di sini kira-kira jam 9 pagi.
“Satu panggilan telah diterima melalui talian balai pada jam 9.30 pagi mengatakan terdapat sebuah bot karam di Sungai Tagas-Tagas, Tongod. Menurut si pemanggil terdapat dua orang mangsa terlibat.
“Sepasukan empat anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Arshad Kadir beserta sebuah bot dan sebuah kenderaan Vigo, dikejarkan ke lokasi sejauh 92 kilometer itu,” katanya.
Menurut Edoen, mangsa dilaporkan bergerak ke arah Pekan Beluran untuk ke hospital dari ladang tersebut menaiki bot bagi mendapatkan rawatan pada pagi jam 8 pagi.
“Si pemanggil memaklumkan menemukan tong minyak bot dan beg mangsa terapung di lokasi kejadian iaitu Sungai Tagas-tagas Tongod pada jam 8.30 pagi.
“Pasukan bomba bersama pasukan polis dari pemantauan banjir di kawasan Kampung Tagas-Tagas Pamol bergerak ke lokasi kejadian yang dimaklumkan oleh si pemanggil.
“Pasukan bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat dengan kaedah Surface Searching menggunakan bot,” katanya.





























