Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun mengingatkan semua jabatan dan agensi kerajaan supaya memastikan segala kaedah penilaian dilaksanakan terutama dalam mengendalikan projek kerajaan.
Beliau berkata, ini mesti dilakukan untuk semua projek tanpa mengira nilainya, bagi memastikan setiap Ringgit yang dibelanjakan oleh Kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat sepertimana projek itu dihasratkan.
“Saya mahu memastikan semua penyiasatan dan pengubahsuaian yang diperlukan sebelum dan selepas kelulusan projek dijalankan dengan betul dan mengikut prosedur standard.
“Ini bagi memastikan setiap projek yang diluluskan oleh Kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Sabah dan tiada kelemahan yang disalahgunakan dan Kerajaan tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat Akaun Amanah K56 di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
“Kerajaan di sini untuk memastikan rakyat Sabah menikmati faedah pembangunan dan penambahbaikan kepada kehidupan dan mata pencarian mereka, justeru kita mesti sentiasa melakukan apa yang betul, bukan apa yang popular,” katanya.
Masidi berkata, projek dari semua peringkat dan nilai perlu dilayan dengan tahap ketekunan dan perhatian yang sama tanpa mengira sama ada ia dijalankan oleh kontraktor atau syarikat konsesi.
Semalam, Menteri Kewangan itu semasa mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet turut mengalu-alukan Pembantu Menteri Kewangan yang baharu dilantik, Tan Lee Fatt yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin minggu lepas.
“Saya mengalu-alukan Tan dan saya percaya pasukan kita diperkukuhkan lagi dengan kehadiran beliau bersama-sama dengan Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Julita Majungki dan Setiausaha Politik, Rina Jainal,” katanya.





























