Ewon (tiga dari kiri) bersama pengamal media (Jabatan Penerangan Sabah) yang hadir.
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), meraikan 100 pengamal media di Sabah.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata majlis bertujuan menghargai sumbangan 26 agensi media di negeri ini dalam pelaporan program-program kementerian beliau.
“Saya berharap majlis sambutan Tahun Baharu Cina ini dapat mengeratkan hubungan baik pihak media dan kementerian apatah lagi ini merupakan pertemuan pertama saya dengan para pengamal media selepas dilantik sebagai Menteri KUSKOP dan Presiden UPKO,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Bersama Media, di Palace Hotel, semalam.
Ewon yang juga Parlimen Penampang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak media atas kerjasama yang diberikan selama ini.
Pada majlis itu Ewon melancarkan akaun media sosial (Facebook, Instagram dan Twitter) rasmi beliau iaitu Ewon Benedick.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Sri Suriani Datuk Ahmad, Presiden Persatuan Wartawan Sabah Datuk Muguntar Vanar, ketua-ketua editor dan biro agensi media masing-masing.