Seorang anggota bomba memantau lubang besar seperti di hadapan pintu rumah Zaili Abu Bakar di Kampung Berchang Baru, Kuala Lipis di Lipis, Pahang.
LIPIS: Dua beranak berdepan detik cemas apabila wujud lubang seperti ‘kawah’ besar di depan pintu rumah mereka di Kampung Berchang Baru, Lubuk Kulit di sini.
Menurut Utusan Malaysia, penghuni rumah berkenaan, Zaili Abu Bakar, 47, berkata, dia menyedari kejadian itu setelah dimaklumkan oleh anaknya, Muhammad Fakrurozee Abd. Rauf, 21, yang mendapati lubang yang agak besar di hadapan pintu rumah pada pukul 5 petang, kelmarin.
“Sebelum saya keluar bekerja dan kemudiannya pulang, keadaan di hadapan pintu rumah masih tidak wujud sebarang lubang.
“Petang kelmarin anak saya (Muhammad Fakrurozee) yang baharu pulang dari Kuala Lumpur bertanya saya hendak buat apa dengan ‘lubang besar’ di hadapan pintu rumah ini.
“Saya hairan dengan pertanyaan itu dan segera menjengah keluar lalu terkejut dengan kewujudan lubang besar seperti ‘kawah’ itu,” katanya di sini semalam.
Zaili yang juga ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, kemungkinan kejadian tersebut disebabkan mendapan tanah dan dia sebelum ini terdengar bunyi di luar, tetapi masih tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah diberitahu anaknya.
“Bimbang dengan risiko keselamatan keluarga mana tahu berlaku mendapan yang lebih besar, saya terus menghubungi anggota bomba untuk meminta bantuan,” katanya.
Menurutnya, dia agak pelik dengan kejadian itu kerana tidak ada saluran paip air yang pecah, tidak berlaku hujan dan hakisan malah pembinaan rumah ini di tapak asal dan bukan tanah tambun sebelum ini.
“Melihat keadaan tidak selamat, saya dan anak tinggal menumpang di rumah saudara terdekat kerana bimbang mendapan tanah kembali berulang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Zon Tiga, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Shahrul Nizam Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 6.19 petang dan kemudiannya sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis bergegas ke tempat kejadian.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, anggota bomba mengesahkan berlaku kejadian tanah mendap membentuk lubang besar dan terus penugasan pemantauan dijalankan serta meminta penghuni mengosongkan kediaman itu buat sementara waktu.
Ujarnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah dimaklumkan dan sehingga ini sedang membuat pemeriksaan lanjut mengenai punca kejadian serta tindakan penambahbaikan akan dilakukan.





























