Mangsa berjaya dipujuk turun dari atas bumbung sebuah hotel di Kota Kinabalu. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Seorang wanita berusia 63 tahun cuba untuk membunuh diri dengan terjun dari atas bumbung tingkat satu sebuah hotel di kawasan Kampung Air, di sini, petang tadi.
Bagaimanapun, wanita tersebut tidak meneruskan niatnya setelah dipujuk oleh orang awam.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah memaklumkan, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima pada jam 4.45 petang menerusi talian MERS 999.
Sepasukan anggota bersama jentera diketuai Komander Operasi, PBK II Abdul Majid Damang dikejarkan ke lokasi kejadian.
Setibanya di sana, pasukan bomba mendapati mangsa telah berjaya dipujuk oleh orang awam dan dibawa turun dari bangunan dalam keadaan selamat.
Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Setelah memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada jam 5 petang.