Tun Juhar (dua dari kanan) menerima cenderahati daripada Mustapha.
KOTA KINABALU: Penubuhan Majlis Penasihat Buruh Sabah mampu membela kebajikan golongan pekerja di negeri ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata penubuhan organisasi tersebut juga mampu mengharmonikan lagi hubungan di antara kerajaan, majikan dan pekerja di Sabah.
“Kita mencadangkan supaya ditubuhkan Majlis Penasihat Buruh Sabah dan perkara ini telah kita utarakan beberapa kali.
“Untuk itu, kita akan menyediakan kertas kerja dan menyerahkannya kepada Ketua Menteri Sabah untuk persetujuan bersama,” kata beliau.
Dengan penubuhan majlis tersebut, ujar Mustapha, sebarang isu berkaitan dengan pekerjaan di Sabah dapat kita bincangkan dan dibawa ke peringkat nasional.
“Sebagai Timbalan Menteri, saya akan pastikan pekerja di negeri ini akan terbela dan pelaksanaan terutamanya isu gaji minimum dan beberapa pindaan baru pada Ordinan Buruh Sabah akan dapat dipanjangkan ke peringkat negeri.
“Ini merupakan sebahagian daripada perkara yang akan kita bincangkan dalam majlis yang akan kita tubuhkan itu nanti,” jelasnya.
Beliau ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu.
Turut hadir dalam sesi kunjungan tersebut ialah Pengarah Tenaga Kerja Sabah, Wan Zulkifli Wan Setapa, Hakim Mahkamah Perusahaan Malaysia Sabah, Datuk Indra Ayub dan Pengarah Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Wan Sarman Sakan.



























