Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor memuji usaha Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) membawa Festival Kebudayaan Cina Kebangsaan ke-38 ke Sabah September ini.
“Kerajaan Negeri mengalu-alukan inisiatif FCAS. Saya berharap festival ini akan mempromosikan dan memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang pelbagai budaya Cina yang berwarna-warni,” katanya pada perasmian Karnival Tahun Baharu Cina 2023 di Lintasan Deasoka di sini malam ini. Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri akan terus menyokong aktiviti kebudayaan Cina di negeri ini.
“Sabah adalah masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya yang pelbagai di mana toleransi dan penerimaan warisan antara satu sama lain telah wujud. Kerajaan menggalakkan dan menyokong perkara ini,” kata Hajiji.
Beliau berkata, Kerajaan juga akan memastikan rakyat mendapat pembangunan yang sama rata, termasuk peruntukan untuk sekolah vernakular dan mubaligh serta badan agama bukan Islam di negeri ini.
Kerajaan Negeri katanya, telah melakukan yang terbaik untuk membangunkan negeri di bawah pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dan pada penghujung 2022, Kerajaan Negeri telah mengutip lebih RM6.6 bilion hasil.
“Ini bukan sahaja prestasi terbaik Kerajaan Negeri Sabah sejak pembentukan Malaysia pada 1963 tetapi juga bukti kesungguhan dan keupayaan Kerajaan Negeri sekarang untuk membangunkan Sabah,” katanya.
Hajiji memberi jaminan Kerajaan Sabah akan terus melaksanakan dasar yang kukuh untuk membawa lebih banyak pelaburan pada masa hadapan.
Persetujuan Putrajaya untuk menyerahkan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Kerajaan Negeri pada 21 Dis 2022, menandakan permulaan yang positif, katanya.
Awal minggu ini, Ketua Menteri membentangkan Rang Undang-undang Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 dan Rang Undang-undang Bekalan Gas 2023 yang diluluskan sebulat suara pada persidangan khas Dewan Undangan Negeri.
“Sehubungan itu, saya berharap masyarakat Cina yang majoritinya berniaga akan bekerjasama dengan Kerajaan untuk membangunkan negeri ini.
“Saya yakin dengan sokongan daripada semua rakyat, khususnya masyarakat Cina, setiap langkah yang diambil oleh Kerajaan akan secara progresif menggerakkan Sabah ke arah yang betul,” katanya.































