Jonathan (tengah) bersama para jemputan memotong kek Hari Natal pada majlis itu.
RANAU: Rakyat negeri ini diseru supaya menjadikan perayaan agama sebagai landasan dan asas untuk memupuk perpaduan dan keharmonian tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik.
Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, apapun perayaan agama atau kaum seperti Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan, Hari Natal (Krismas), Tahun Baru Cina dan Deepavali dan Hari Gawai hendaklah di hormati dan dirayakan bersama-sama tanpa dibezakan kaum dan budaya.
Menurutnya, rakyat di Sabah khasnya menjadi contoh terbaik kerana semua perayaan dirayakan bersama-sama tanpa mengira perbezaan antara mereka.
“Inilah keunikan di negeri kita kerana semua kaum boleh duduk satu meja tanpa mengira perbezaan dikalagan mereka”, jelas Jonathan ketika berucap merasmikan Krismas 2022 dan Tahun Baru 2023 anjuran Pejabat Parlimen Ranau di Dewan Masyarakat Ranau pada Sabtu yang dihadiri lebih 2,000 penduduk setempat.
Menyentuh majlis itu, Jonathan memaklumkan majlis itu sepatut diadakan pada 7 Januari lepas tapi telah ditunda berikutan bencana alam iaitu banjir dan tanah runtuh berlaku di daerah berkenaan.
“Usaha-usaha membantu termasuk membersihkan kawasan rumah kediaman penduduk yang terkesan dengan tanah runtuh dan banjir staf Khidmat Rakyat Parlimen Ranau turut turut turun padang membantu penduduk yang terkesan,” kata beliau.
Beliau turut memuji dan berterima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia(ATM), Polis Diraja Malaysia ( PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) Rela dan Anggota Sukarelawan yang lain kerana turut bersepadu menjalankan tugas masing-masing membantu penduduk yang terkesan dengan bencana yang berlaku.
“Peranan kita dalam usaha membantu penduduk yang terkesan adalah amat dihargai dan diucapkan terima kasih,” ujarnya.
Berucap sama ialah, Ketua Pegawai Pehubungan Parlimen Ranau selaku Pengerusi jawatankuasa pelaksana program itu, Benedict Gunda.
Turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Abidin Madingkir, Ketua Daerah Ranau, OKK Muhasip Haji Roman, ketua-ketua jabatan kerajaan serta para pemimpin masyarakat setempat.
Majlis diserikan dengan tarian tradisional, koir dan persembahan lagu daripada para artis tempatan.































