PETALING JAYA: Gara-gara marah anaknya bermain telefon bimbit hingga lewat malam, seorang bapa membelasah anaknya menggunakan tali pinggang selain mengugut ingin membunuhnya dengan parang pemotong daging di kediaman mereka di Lembah Subang di sini kelmarin.
Bagaimanapun tindakan lelaki itu mengundang padah apabila dia ditahan polis, pada hari kejadian.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.18 petang kelmarin daripada mangsa yang berusia 16 tahun.
“Siasataan polis mendapati suspek berusia 56 tahun itu mengugut anaknya dengan parang pemotong daging dan memukulnya dengan tali pinggang.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis menahan suspek yang bekerja sebagai pembantu restoran dan merampas parang berukuran 33 sentimeter pada pukul 10.30 malam,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, suspek direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 (1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001.