Pasukan bomba melakukan operasi pemadaman kebakaran yang melibatkan Proton Gen2 itu. – Ihsan Bomba
SIPITANG: Sebuah kereta jenis Proton Gen2 musnah terbakar di Kampung Lingkungan, Jalan Weston-Beaufort, dekat sini, petang tadi.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Sepasukan anggota bersama jentera diketuai oleh Komander Operasi, PBKII Shadan Haji Basar dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang bergegas ke lokasi kejadian 25 kilometer dari BBP selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 1.34 petang menerusi talian MERS 999.
Proton Gen2 tersebut terbakar 100 peratus dan pasukan bomba melakukan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dari jentera.
Pemeriksaan dijalankan memastikan tiada keberbahayaan lain dan kebakaran berjaya terkawal pada jam 2.10 petang.
Operasi ditamatkan pada jam 2.23 petang.































