Anwar bertemu dengan ADUN-ADUN yang menyokong kepimpinan Hajiji di Sri Gaya.
KOTA KINABALU: Perdana Menteri menyatakan sokongannya kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor untuk terus memimpin Sabah.
“Kita mahu Kerajaan Sabah ini kukuh di bawah kepimpinan Ketua Menteri (Hajiji).
“Kita beri peluang kepada Ketua Menteri untuk berbincang dan mencari formula yang baik untuk kebaikan Sabah,” katanya kepada pemberita sebelum beliau dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail beredar dari kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya. di sini tengah malam tadi untuk kembali ke Kuala Lumpur.
Anwar juga berterima kasih kepada Hajiji dan rakan-rakan atas semua pandangan mereka yang dikemukakan kepada beliau dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau juga berkata, rang undang-undang yang akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Khas hari ini (10 Jan) adalah sangat penting dan akan membawa perubahan besar kepada Sabah.
Semasa di Sri Gaya, Anwar dan Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan 44 ADUN yang menyokong Hajiji selama kira-kira setengah jam.
Turut hadir ialah Ahli-ahli Parlimen GRS dan Pakatan Harapan (PH) Sabah.
Anwar dan Ahmad Zahid tiba di Sri Gaya pada pukul 11.21 malam selepas mereka bersama Hajiji mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Magellan Sutera Harbour.
Anwar pergi ke pertemuan tersebut sejurus selepas beliau dan isterinya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini kira-kira jam 10 malam.































