Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited untuk memastikan pembangunan sama rata untuk semua rakyat Sabah tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Beliau mengulangi bahawa Kerajaan Negeri memperuntukkan RM176.16 juta untuk melaksanakan program keagamaan dengan kira-kira 31 peratus atau RM54.05 juta sebagai geran untuk sekolah dan badan agama bukan Islam dalam Belanjawan Negeri tahun ini.
“Sabah telah mencapai kejayaan besar pada 2022 antaranya memperoleh pelaburan asing dan domestik berjumlah RM33.4 bilion,” katanya pada Festival Naga, Unicorn dan Singa sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini. Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Ketua Menteri menyifatkan kejayaan itu hasil usaha kolektif dan sokongan rakyat serta pelbagai pihak termasuk pertubuhan seperti Persatuan Komuniti Cina Sabah Bersatu Kota Kinabalu (USCCA KK) kepada Kerajaan Negeri.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih, khususnya kepada masyarakat Cina atas sokongan berterusan mereka dalam berganding bahu dengan kita untuk memakmurkan Sabah,” katanya.
Hajiji memuji USCCA KK kerana berjaya menganjurkan festival itu yang menurutnya tepat pada masanya selepas dua tahun pandemik yang menyebabkan banyak perayaan terpaksa dibatalkan.
Beliau berkata, tahun Arnab dikaitkan dengan keamanan, kemakmuran dan umur panjang, yang juga sepatutnya menjadi tahun harapan yang diperbaharui selepas melalui cabaran yang ditimbulkan oleh pandemik Covid-19.
Hajiji mengulangi bahawa masih banyak yang perlu dilakukan dan pada tahun ini Kerajaan Negeri akan meneruskan fokusnya kepada usaha pemulihan ekonomi.































