Dr. Joachim (dua dari kanan) bersama Roland (tiga dari kanan) menggaul Yee Sang Tossing.
KOTA KINABALU: Kerajaan memperuntukkan geran sebanyak RM54.05 juta kepada sekolah-sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di Sabah dalam bajet tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata jumlah ini meningkat RM7.05 juta berbanding tahun lepas dan menunjukkan kerajaan peka akan keperluan masyarakat dan komited membantu tanpa mengira bangsa, keturunan atau agama.
“Di samping itu, RM1.5 juta bantuan pembekalan kepala singa sempena Tahun Baru Cina .akan diagihkan kepada persatuan dan tokong-tokong berkaitan melalui Dewan Undangan Negeri serta Parlimen sebagai sokongan kepada masyarakat Tiong Hua.
“Kita sentiasa menekankan dasar keadilan dan prihatin dalam semua aspek bagi membantu masyarakat di Sabah,” katanya dalam Majlis Perasmian Penyerahan Kepala Singa Kepada Masyarakat Tiong Hua Sabah Sempena Tahun Baru Cina di sini, pada Khamis.
Dalam majlis tersebut, beliau berharap bantuan itu dapat memberi manfaat dan memeriahkan lagi sambutan Tahun Baru Cina seterusnya mengekalkan semangat persaudaraan rakyat.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.