TUARAN: Orang ramai di sekitar Tenghilan dipelawa menyertai program Kempen Derma Darah yang akan diadakan esok (15 Jun) bermula jam 9 pagi hingga jam 2 petang di Dewan SRA, Pekan Tenghilan, di sini.
Program anjuran Persatuan Pesara Kerajaan Sabah (PPKS) dengan kerjasama Tabung Darah Hospital Queen Elizabeth II, dan Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian N.14 Tamparuli itu diadakan kali kedua, selepas Februari lalu.
Ketua Pergerakan Pemuda PBS Bahagian N.14 Tamparuli, Rizkam Wenddy Yabin berkata, aktiviti itu diadakan bertujuan untuk
meningkatkan kesedaran tentang kebaikan menderma darah, selain menanam sifat keprihatinan terhadap penderitaan insan dan memerlukan dalam kalangan masyarakat.
“Mana-mana program berkaitan derma darah sudah tentulah bertujuan meningkatkan kesedaran tentang perlunya sentiasa mempunyai tubuh badan sihat dan sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat,” tambahnya.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli dijangka akan turut hadir memberikan sokongan kepada program tersebut.
Justeru, beliau berharap esok lebih ramai orang tergerak hati untuk menderma darah bagi membantu hospital yang memerlukan sumbangan darah daripada para penderma budiman.































