Jahid menyerahkan Watikah Pelantikan kepada WKAN Walton Sodundu, sambil disaksikan oleh ADO Tamparuli, Herman Tunggiging, PPM Tamparuli, Madin Anak, dan Setiausaha Politik, Jilias Lintar.
TAMPARULI: Pemimpin adat diseru memberi khidmat terbaik kepada masyarakat, dengan menggunakan kebijaksanaan serta keberanian dalam menjalankan tanggungjawab yang diberi.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim berkata, hal-hal berkaitan agama, budaya dan adat-istiadat memerlukan kesabaran dalam mendepani cabaran menguruskan pelbagai tuntutan masyarakat masa kini.
Justeru, selain menuntut kemahiran dalam pengurusan adat, tingkah laku dan peradaban mereka juga perlu dijaga bagi memberi contoh yang baik kepada masyarakat.
“Saya bersama kepimpinan tertinggi di peringkat daerah telah meletakkan kepercayaan kepada ketiga-tiga mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat, dan berharap semoga para pemimpin ini dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik,” katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan kepada tiga orang pemegang adat di kawasan Tamparuli, di sini hari ini.

Tiga pemimpin adat yang menerima Watikah Pelantikan. Dari kiri KK Paranting Lipayan (Kampung Loputung), KK Sikin Penimbang (Kampung Kapa), dan Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Tamparuli, Walton Sodundu.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah (ADO) Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak, Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Jilias Lintar, kakitangan Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tamparuli, dan kakitangan Pejabat Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLBS).
Jahid, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, ketua adat berperanan menyelesaikan pelbagai perkara termasuk hal berkaitan tanah adat, dokumen pengenalan peribadi, tradisi dan kebajikan rakyat.
Katanya, semua ketua adat harus memastikan usaha ke arah mengekalkan warisan, budaya dan adat istiadat kaum yang dimiliki mereka untuk diwarisi generasi seterusnya.
“Kepada para pemimpin lain, dekati dan bimbinglah mereka, demi memperkasa dan memartabatkan lagi institusi Mahkamah Anak Negeri (MAN) di Tamparuli,” katanya.
Terdahulu, Penolong Pegawai Daerah Kecil (ADO) Tamparuli, Herman Tunggiging, berkata, sekiranya ada kemusykilan mengenai tugasan dan tanggungjawab mereka, boleh terus berhubung dengan beliau.
Tiga yang dilantik ialah Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Tamparuli, Walton Sodundu, KK Sikin Penimbang (Kampung Kapa), dan KK Paranting Lipayan (Kampung Loputung).































