Hajiji (duduk, tengah) bersama Awang Ahmad, Loo, Chak, Faridah, Chong and AJK lain.
KOTA KINABALU: Hampir semua ahli jawatankuasa Parti Warisan Bahagian Kota Kinabalu bertemu dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di kediamannya, Sri Gaya hari ini untuk mengumumkan keluar Parti Warisan dan menyertai Gagasan Rakyat dengan hasrat menyokong penuh kerajaan perpaduan Sabah yang diketuai oleh Hajiji.
Rombongan mereka diketuai oleh ADUN Petagas Datuk Awang Ahmad Sah yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tanjung Aru dan Setiausaha Bahagian Gagasan Rakyat Tanjung Aru, Judy Hiew.
Mereka yang mengumumkan meninggalkan Parti Warisan dari Bahagian Kota Kinabalu termasuk Nicholas Chak (Ahli Majlis Tertinggi Warisan merangkap Timbalan Ketua Kota Kinabalu), Dato David Chong (Naib Ketua Bahagian Kota Kinabalu), Faridah Wasli (Ketua Wanita Bahagian Kota Kinabalu merangkap Ketua Cawangan Likas Barat), Maxxy Loo (Timbalan Ketua Wira Warisan merangkap Ketua Wira Bahagian Kota Kinabalu), serta ahli-ahli jawatankuasa Bahagian Kota Kinabalu iaitu Norsham Wasli, Nurul Akmal, Yim Woei Cherng (juga Setiausaha Wira Kota Kinabalu), Timothy Hill (AJK Wira Warisan), Rickcy Lim (juga Ketua Cawangan Damai), Jack Chin (juga Naib Ketua Cawangan Damai), Christiana Yong (juga Timbalan Ketua Wanita Kota Kinabalu), Pungut Jouya dan Mohd Khairul (juga Timbalan Ketua Wira Kota Kinabalu dan Ketua Cawangan Likas Selatan), Nicholas Tan (juga Ketua Cawangan Sunny Golden)
Dalam satu kenyataan hari ini, mereka menyatakan bahawa pilihan raya umum telah berakhir dan rakyat telah membuat keputusan dengan undi mereka bagi Kerajaan Pusat dan Sabah membentuk kerajaan perpaduan, dan tugas pertama adalah mendokong dan menyokong penuh kerajaan perpaduan menumpukan perhatian kepada tadbir urus.
Sebelum ini, berikutan penularan wabak Covid-19 yang teruk, ramai orang hidup dalam kesusahan, tetapi kini keadaan wabak telah bertambah baik, dan pasaran telah mula dibuka dan bertambah baik.
Sebarang pertikaian politik harus menunggu sehingga penggal penuh diselesaikan baru bersaing, kata mereka, sambil menambah buat masa ini, perlu difikirkan bahawa rakyat boleh bekerja dan berniaga dalam suasana politik negara yang stabil.
“Satu-satunya harapan rakyat ialah politik negara dapat stabil, dan mereka juga sudah bosan dengan ketidakstabilan negara yang disebabkan oleh pertikaian politik,” kata mereka.
Mereka berkata, ketika bertemu dengan Ketua Menteri, beliau menyatakan bahawa beliau akan melakukan yang terbaik untuk mewujudkan Sabah yang lebih baik dan makmur.
“Pada masa sama, Ketua Menteri mahu menarik lebih banyak pelaburan asing bagi meningkatkan lebih banyak peluang pekerjaan dan mengelak anak muda tempatan berhijrah ke Semenanjung atau ke luar negara untuk bekerja,” kata mereka.
Selain itu, kata mereka, Ketua Menteri secara khusus menyebut bahawa beliau sedang berusaha keras untuk menyelesaikan masalah air masin di Sandakan secepat mungkin, agar penduduk setempat mendapat air bersih.































