Jonathan (kanan) bersama Alice memotong reben untuk merasmikan jambatan besi baharu Sungai Kawiyan.
RANAU: Penduduk enam buah kampung di sini boleh menarik nafas lega dengan siapnya sebuah sebuah jambatan besi merentasi Sungai Kawiyan sebagai laluan utama penduduk berkenderaan untuk menghantar hasil pertanian mereka ke Pekan Ranau.
Jambatan besi sepanjang 26 meter dengan kapasiti angkatan sehingga lima tan itu menelan kos RM280,000 yang disumbangkan oleh Pertubuhan Komuniti Elite, dilaksanakan pembinaannya oleh Kontraktor Awot Low bermula Ogos 2022 dan siap sepenuhnya pada Februari 2023.
Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin merasmikan jambatan besi itu pada sambutan Pesta Kaamatan Kg. Kawiyan, 45 kilometer dari Pekan Ranau.
Beliau memuji dan berterima kasih kepada Pertubuhan Komuniti Elite kerana telah membantu menyediakan dana bagi pembinaan jambatan besi tersebut, yang menjadi satu kemudahan kepada penduduk berkenderaan ke Pekan Ranau dari Kg. Kawiyan, Kg. Puralai, Kg. Manikulau, Kg. Giring, Kg. Patau dan Kg. Mansalu yang sebelum ini menggunakan jambatan gantung.merentasi Sungai Kawiyan.
“Bermula hari ini kita sudah boleh menggunakan kenderaan melalui jambatan besi ini untuk menghantar hasil pertanian ke Pekan Ranau,” kata Jonathan sambil menambah jambatan besi itu hanya boleh dilalui jenis kenderaan dengan berat tidak melebihi lima tan.
Beliau berkata, Kerajaan serius dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan projek-projek pembangunan termasuk yang dilaksanakan melalui agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat swasta untuk kemudahan rakyat.
“Pembinaan jalan raya Tarawas-Kawiyan dan kemudahan penduduk dari beberapa buah kampung lain yang kini sedang berjalan lancar adalah contoh komitmen serius Kerajaan menyediakan kemudahan infra untuk rakyat,” katanya.
Menyentuh beberapa permohonan yang diutarakan Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Aini Tampig yang mewakili penduduk enam buah kampung tersebut yang memohon agar Kerajaan menyediakan kemudahan bekalan elektrik dan air bersih serta kemudahan liputan internet di kawasan Mukim Kawiyan, Jonathan memohon kepada pihak kepimpinan peringkat kampung seperti Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Pemaju Mukim supaya mengemukakan permohonan secara rasmi kepada agensi-agensi atau jabatan berkaitan.
“Pihak Pejabat Parlimen sentiasa bersedia untuk memberikan sokongan agar kemudahan-kemudahan itu dapat dilaksanakan,” katanya.
Pihak Pejabat Parlimen Ranau tambahnya, terpaksa mengagihkan peruntukan yang terhad untuk projek-projek mendesak.
“Rakyat kena faham bahawa dengan peruntukan yang terhad itu kita kena beri keutamaan kepada projek-projek yang mendesak terlebih dahulu,” jelas Jonathan.
Pertubuhan Komuniti Elite diwakili oleh Alice Teoh semasa sambutan tersebut yang diserikan dengan persembahan kebudayaan oleh penduduk Kg. Kawiyan dan pelajar SK. Kawiyan.































