Sekitar majlis istiadat penghormatan jenazah Allahyarham Awang Askandar di Tanah Perkuburan Islam Kg Benoni.
PAPAR: Hampir 2,000 orang hadir ke majlis istiadat penghormatan pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023).
Jenazah, Allahyarham Lt. Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah tiba di kediamannya di Kg Benoni atas permintaan keluarga pada jam 3.07 petang disambut hiba oleh sanak-saudara, rakan-rakan, para pemimpin tempatan serta warga APM.
Kira-kira jam 3.30 petang, jenazah kemudiannya dibawa ke ke Masjid Jamek As-Salam Benoni untuk dimandi, dikafan dan disolatkan oleh imam, Hamdan Omar yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sabah, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kg. Benoni untuk disemadikan mengikut istiadat penghormatan APM kira-kira jam 5.20petang.
Sebagai penghormatan terakhir, Jalur Gemilang diserahkan oleh Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed kepada waris terdekat allahyarham melalui Armizan.
Allahyarham Awang Askandar, 56, meninggalkan seorang balu, Siti Hafizah Abdul Hamid bersama enam anak dalam lingkungan umur dua tahun hingga 12 tahun.
Antara yang hadir dalam majlis istiadat pengebumian itu selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali ialah ADUN Kawang Datuk Seri Dr. Ghulam Haidar Khan, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Abdul Wahab Abdul Rahim dan Pengarah APM Negeri Sabah Mokhtar Samat.
Allahyarham dilaporkan meninggal dunia pada Jumaat lalu, akibat masalah kesihatan pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut.
Terdahulu, Armizan dalam kenyataannya memaklumkan pengurusan membawa balik jenazah berjaya diselaraskan dengan lancar oleh pihak Kedutaan Malaysia di Nepal.
Jenazah diterbangkan dari Kathmandu menggunakan pesawat MH115 pada jam 11.30 malam Jumaat (waktu tempatan) dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6.25 pagi Sabtu.
Jenazah akhirnya dibawa balik ke Kota Kinabalu dengan menerusi pesawat MH2646 pada pukul 11.35 pagi Sabtu dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) jam 2.15 petang































