Keadaan di lokasi kejadian itu. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Lelaki berumur 26 tahun yang terjatuh ke dalam laut semasa memancing di sini kelmarin telah ditemukan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, TPgB I Ordine Gilu memberitahu, mayat mangsa, Anuar Abd. Hakim ditemukan pada jam 10.38 pagi tadi oleh pasukan penyelamat dalam air (PPDA) pada kedalaman tiga meter di kawasan dia dilaporkan jatuh.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua ditamatkan pada jam 10.47 pagi.
Terdahulu, beliau berkata, kejadian berlaku di Jeti Sepanggar Chemical Industry, Sepanggar pada kira-kira jam 5 petang kelmarin.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan dari sistem MERS999 melaporkan terdapat seorang mangsa jatuh di laut ketika menjalankan aktiviti memancing ikan di laut.
“Menurut pengadu, Anuar masuk ke kawasan tersebut tanpa pengetahuan dan memancing ikan di atas sebuah tongkang sebelum jatuh ke dalam laut dan tidak timbul.
“Pasukan Bomba bergerak ke lokasi mengambil maklumat dan seterusnya menjalankan operasi SAR di sekitar kawasan mangsa dilaporkan jatuh,” katanya.































