Andi (duduk, tengah) bergambar kenangan dengan usahawan dalam program Sesi Libat Urus Usahawan PMKS
TAWAU: Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan penglibatan rakyat dalam bidang keusahawanan terutamanya golongan B40, ibu tunggal, wanita, belia dan Bumiputera.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, tumpuan khusus diberikan oleh agensi-agensi Kerajaan yang berkenaan dengan menyediakan pelbagai sokongan dan platform dalam pelaksanaan program, insentif pembiayaan dan latihan keusahawanan bagi menarik minat mereka agar terlibat secara serius dalam bidang keusahawanan.
“Keusahawanan adalah untuk semua dan ianya tidak hanya terhad kepada sesetengah individu tertentu sahaja.

Andi Muhammad Suryady Bandy
“Saya percaya bahawa kebanyakan daripada kita sudah mengetahui tentang kepentingan bidang keusahawanan sebagai antara strategi penting untuk menambahbaik kualiti hidup rakyat dengan menyokong agenda pembangunan ekonomi negara.
“Jurang pendapatan antara rakyat akan dapat dikecilkan dengan aktiviti keusahawanan melalui penjanaan pendapatan serta pewujudan peluang pekerjaan baharu seterusnya merangsang pertumbuhan sosioekonomi negara,” katanya pada Sesi Libat Urus Usahawan PMKS Bersama Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan yang diadakan di Borneo Royale Hotel, di sini, hari ini.
Andi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata, Kerajaan Negeri dan Persekutuan sentiasa komited dalam membantu usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam memperkasakan ekosistem keusahawanan.
Mengambil contoh katanya, sesi libat urus yang diadakan hari ini bertujuan untuk menyampaikan informasi serta maklumat terkini kepada usahawan PMKS sekitar Tawau mengenai inisiatif, program, geran bantuan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawan (MIDE) termasuk agensi di bawahnya.
Tambahnya, sesi libat urus ini merupakan platform yang terbaik untuk memberikan pendedahan kepada para usahawan dan bakal usahawan tentang hala tuju dalam mengukuhkan lagi perniagaan, di samping mengiktiraf sumbangan para usahawan khususnya di sekitar daerah Tawau dalam pembangunan ekonomi serta membantu merancakkan lagi sosioekonomi masyarakat setempat.
“Program sebegini akan dapat memantapkan lagi pengembangan perniagaan para usahawan supaya dapat mengembangkan perniagaan yang lebih besar, berdaya saing, berdaya maju dan berdaya tahan di peringkat domestik dan seterusnya di peringkat global,” kata Ahli Parlimen Kalabakan itu.
Beliau juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak urus setia di atas komitmen yang diberikan bagi menjayakan program ini yang walaupun baru dirancang tetapi menerima sambutan yang sangat menggalakkan, selain semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakannya.
Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Tseu Kei Yue.































